Monday, June 2, 2014

Salam perkenalan...

Mungkin ada yang pelik, kenapa aku menggunakan "Anak-anak dari Syurga" sebagai nama tapak blog ini. Adakah blog ini akan bercerita tentang informasi keagamaan; bagaimana cara mendidik, mengasuh, menjaga anak supaya menjadi anak-anak soleh dan solehah serta taat kepada ibu bapa tanpa mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan ketika berada di bumi Allah ini.


Tidak.

Sebaliknya, ia sekadar ruang untuk berkongsi pengalaman kami sekeluarga dalam menjaga, mengasuh, anak-anak dari syurga yang telah diamanahkan Allah. Buat setakat ini, bilangannya baru 4 orang, insyaAllah akan bertambah di masa akan datang. Betul tak?

Kenapa pula aku gelarkan budak-budak ini, anak-anak dari syurga?
Adakah aku pasti, mereka akhirnya kelak akan ke syurga?

Aku bertanya pula, 
Bukankah anak-anak itu datangnya dari syurga?

Mereka tidak berdosa, putih dan suci sehinggalah mereka akil baligh. Malah, ada sesetengah keadaan, anak-anak ini kekal tidak berdosa kerana hanya baligh dari segi usia tetapi bukan akal. Tentu banyak di luar sana bukan? Mereka inilah bakal menjadi penghuni syurga, insyaAllah. 

Ibu bapa serta penjaga yang dipinjamkan anak sebegini sangat bertuah kerana diberikan kesempatan menjaga mereka. Mengasuh, menjaga anak-anak ini pula bukanlah semudah yang disangka. Ada banyak ragamnya, ada banyak dugaannya dan kesemua ini, ada ganjaran dari Allah. Berbanggalah anda kerana terpilih menjaga mereka. Bersyukurlah, bukan semua orang berpeluang merasakan yang sama.

Kami juga antara yang sangat bertuah kerana dikurniakan Miqhail, anak autisme yang semakin hari, semakin memperlihatkan perkembangan yang sangat bagus. Alhamdulillah. Semoga, segala usaha dijalankan kedua mama dan papa, serta dibantu rapat oleh umi, abah juga tidak ketinggalan kami sekeluarga, Miqhail akan sembuh dan normal seperti anak-anak biasa, seperti Mierza, Firzudeen Aqasha dan Mysarah. InsyaAllah. 

Inilah kisah Miqhail, kisah anak-anak, kisah kami sekeluarga. 
Terima kasih kerana sudi menjenguk dan membaca...